Unit LDP
Pengenalan
Latar Belakang
Dunia pendidikan semasa yang sentiasa mencabar ini, menuntut golongan pendidik untuk rajin memacu ilmu dan sentiasa proaktif meningkatkan kemahiran termasuklah memperbaharui amalan pengajaran dan pembelajaran. Justeru, usaha menyebarluaskan ilmu pengetahuan dalam bidang pedagogi dan andragogi kepada guru-guru sekolah adalah amat perlu. Unit Latihan Dalam Pekhidmatan (ULDP) Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau (IPG) bertanggungjawab melaksanakan program-program pembangunan staf bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan pendidikan keguruan secara profesional, cekap, berkualiti dan berkesan agar golongan pendidik sentiasa berketrampilan dalam memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Guru, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Unit LDP dipertanggungjawabkan dalam merancang, mengelola, mengurus, menyelaras serta menilai keberkesanan kursus-kursus yang dilaksanakan. Terdapat kursus jangka pendek yang ditakrifkan sebagai kursus yang kurang daripada 92 hari. Antaranya program Latihan Pembangunan Staf (LPS), Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) dan Projek Teaching School. Sementara kursus jangka panjang yang melebihi 92 hari adalah seperti Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) dan j-QAF. Pada tahun ini, IPG Kampus Tawau telah menjadi pembekal latihan kepada Kursus Prasekolah Swasta Kohort 11 2010 dan dikendalikan oleh Unit LDP
Program-program yang dikelolakan oleh Unit LDP adalah kerjasama BPG, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah serta Pejabat Pelajaran Daerah Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan. Dua kumpulan sasaran program iaitu kumpulan pertama yang terdiri daripada staf akademik, pegawai pengurusan dan staf sokongan Institut sendiri. Sementara kumpulan kedua terdiri daripada guru-guru dalam perkhidmatan yang sedang berkhidmat di sekolah rendah dan menengah.
Visi Unit
Unit Latihan Dalam Pekhidmatan Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau sentiasa menggali inovasi terkini dengan memberikan latihan perkhidmatan yang berkualiti dan berterusan ke arah keunggulan profesion keguruan
Misi Unit
Unit Latihan Dalam Perkhidmatan IPG Kampus Tawau sentiasa berusaha membangun dan memartabatkan profesion keguruan melalui pembudayaan ilmu ke arah kecemerlangan pendidikan yang berwawasan memiliki integriti dan berkredibiliti, berakal budi serta tinggi nilai produktiviti.


